ENGLISH | BAHASA
Malaysian Rubber Export Promotion Council - MREPC

Kenali MREPC

Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) telah didaftarkan pada 14 April 2000 di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan untuk menjalankan promosi pasaran getah dan produk getah di pasaran dunia, terutama sekali memberikan bantuan kepada perusahaan bersaiz kecil dan sederhana (SME).

Baca Lagi

Berita Terkini

MREPC Mempromosikan Sarung Tangan Getah di Suzhou dan Chengdu

Sekali lagi MREPC telah menganjurkan satu misi khusus ke China dari 13 - 19 Mei 2018 untuk memanfaatkan potensi besar pasaran bagi sarung tangan getah buatan Malaysia. Misi yang diketuai oleh Puan Low Yoke Kiew, Ketua Pegawai Eksekutif MREPC, turut disertai oleh lapan pengeluar produk sarung tangan getah Malaysia iaitu Top Glove, Kossan, WRP, Smart Glove, Adventa Health, Professional Latex, Riverstone dan N.S. Unigloves. Tumpuan misi ini adalah sarung tangan perubatan getah dan sarung tangan bilik bersih di bandar raya Suzhou dan Chengdu.

MREPC telah juga menganjurkan seminar pendidikan di Suzhou dan Chengdu yang menyasarkan kakitangan penjagaan kesihatan dan juga pengimport dan pengedar peralatan perubatan. Seminar pendidikan ini merupakan usaha berterusan MREPC untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sarung tangan perubatan getah dalam persekitaran penjagaan kesihatan untuk mengurangkan jangkitan di hospital. Selain mengutarakan perkembangan terkini dalam industri penjagaan kesihatan, seminar tersebut juga menyediakan platform untuk pakar-pakar industri mewujudkan jalinan dengan delegasi dari Malaysia. Kedua-dua seminar telah dihadiri oleh 120 orang peserta.

Semasa misi tersebut, MREPC juga mengaturkan sesi pemadanan perniagaan bagi syarikat pengeluar Malaysia dengan pembeli berpotensi dari China. Sementara itu, perbincangan meja bulat yang diadakan di kedua-dua bandar raya membolehkan pengeluar Malaysia berinteraksi dengan pengimport dan pengedar serta mengumpul maklum balas tentang perdagangan sarung tangan perubatan getah dan sarung tangan bilik bersih antara Malaysia dan China. Perbincangan tersebut juga telah memberikan maklumat terkini tentang industri penjagaan kesihatan di China. Delegasi juga melawat Haimen Yangzi di Suzhou dan Sichuan Clover Biopharmaceuticals di Chengdu untuk memupuk jalinan perniagaan dan kerjasama.


Foto berkumpulan peserta seminar pendidikan MREPC di Chengdu

MREPC Mempromosikan Sarung Tangan Getah di Suzhou dan Chengdu

MREPC Mempromosikan Sarung Tangan Getah di Suzhou dan Chengdu

23
May , 2018

MREPC Menyertai ISES 2018

MREPC telah mengambil bahagian buat kali pertama dalam International Sustainable Energy Summit 2018 edisi ke-4 dari 10 – 11 di Kuching, Sarawak. Persidangan tahun ini dianjurkan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA) dan Kementerian Utiliti Sarawak. Acara ini turut dianjurkan bersama oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) dan Kerajaan Negeri Sarawak. Satu pameran mini juga diadakan serentak dengan persidangan dan menarik kira-kira 600 peserta.

ISES merupakan acara yang diadakan setiap dua tahun untuk berkongsi pengetahuan dan menjalin hubungan mengenai tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan permintaan tenaga dalam kalangan pihak yang berkepentingan dari beberapa negara. Selaras dengan tema sidang kemuncak tahun ini – ‘Sustainable Energy: The Future is Here’, kertas kerja yang dibentangkan memberi tumpuan kepada isu-isu hangat seperti meningkatkan penggunaan tenaga lestari; masalah grid dengan penembusan fotovoltaik solar yang tinggi; penyelesaian simpanan tenaga; menangani tenaga elektrik luar bandar; dan membiayai projek tenaga lestari.

Pameran mini menarik penyertaan 47 peserta pameran yang terdiri daripada syarikat dan pihak berkepentingan dari industri tenaga dan institusi kewangan serta agensi kerajaan yang berkaitan. MREPC mengambil kesempatan untuk mempromosikan Industry Linkage Fund yang bertujuan memacu penyelidikan kolaboratif dalam industri produk getah. Sepanjang acara dua hari tersebut, MREPC telah menerima lebih daripada 10 pertanyaan daripada jurutera dan perunding projek.


Pn Uthaya dari MREPC melayan pertanyaan semasa ISES 2018.

MREPC Menyertai ISES 2018

MREPC Menyertai ISES 2018

30
Apr , 2018

Penyertaan Sulung MREPC Dalam Persidangan NZSEE 2018

MREPC menyertai persidangan NZSEE 2018 yang dianjurkan oleh New Zealand Society for Earthquake Engineering (NZSEE) dari 13 hingga 15 April 2018 di Auckland, New Zealand. Persidangan NZSEE diadakan setiap tahun dan edisi kali ini menandakan ulang tahun ke-50 persatuan tersebut. Pameran yang diadakan serentak dengan persidangan telah menarik lebih daripada 500 peserta.

NZSEE 2018 menarik penyertaan 16 peserta pameran yang memaparkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan kejuruteraan seismik. MREPC mengambil bahagian buat kali pertama bersama dengan Doshin Rubber Products untuk mempromosikan produk getah kejuruteraan seperti galas seismik, fender dok dan sendi pengembangan. Acara tersebut juga menyaksikan MREPC dan Doshin memperkenalkan pengasingan asas (High-Damping Natural Rubber Bearings atau HDNRB) sebagai alternatif kepada galas teras utama dan galas pendulum yang biasa digunakan dalam projek pembinaan di seluruh New Zealand. MREPC menerima 20 pertanyaan daripada jurutera, perunding, penyelidik dan agensi kerajaan, terutamanya mengenai galas getah.


Gerai MREPC dalam NZSEE 2018

Penyertaan Sulung MREPC Dalam Persidangan NZSEE 2018

Penyertaan Sulung MREPC Dalam Persidangan NZSEE 2018

24
Apr , 2018

Penyertaan Yang Menggalakkan Dalam Seminar Pendidikan MREPC di Ho Chi Minh City dan Yangon

MREPC telah berjaya menganjurkan satu misi khas sarung tangan getah perubatan ke Vietnam dan Myanmar dari 25 – 31 March 2018. Misi diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Low Yoke Kiew, dan merangkumi dua pasaran penting di rantau ASEAN, iaitu Ho Chi Minh City, Vietnam dan Yangon, Myanmar.

Seminar bertajuk ‘Mengurus Kawalan Jangkitan – Memilih Sarung Tangan Yang Betul’ di kedua-dua lokasi telah menarik penyertaan yang menggalakkan dengan sejumlah 240 jururawat, pekerja penjagaan kesihatan, pengimport, dan pengedar. Seminar di Ho Chi Minh City telah dianjurkan bersama Persatuan Perubatan Ho Chi Minh City dan Persatuan Kawalan Jangkitan. Seminar di Yangon pula dianjurkan bersama Persatuan Jururawat dan Bidan Myanmar. Seminar pendidikan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MREPC untuk mendekati kakitangan penjagaan kesihatan di rantau ini. Ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan mempromosikan penggunaan sarung tangan getah perubatan dengan betul bagi mengurangkan jangkitan.

Semasa misi tersebut, perbincangan meja bulat juga diadakan bersama pengimport dan pengedar peralatan perubatan getah di Ho Chi Minh City dan Yangon. Diskusi interaktif ini memberikan maklum balas yang berguna tentang perdagangan alatan perubatan getah antara Malaysia dan Vietnam/Myanmar serta perkembangan terkini tentang industri penjagaan perubatan di setiap negara tersebut.

Delegasi juga melawat Hoan My Medical Corporation dan FV Hospital di Ho Chi Minh City dan Pun Hlaing Siloam Hospital di Yangon dengan tujuan untuk menjalinkan hubungan serta mempelajari perkembangan terkini dalam sektor penjagaan kesihatan di Vietnam dan Myanmar.



Sesi Soal-Jawab dalam seminar di Ho Chi Minh City.




Perbincangan meja bulat mengenai peralatan perubatan getah di Ho Chi Minh City.




Para peserta dalam seminar MREPC di Yangon.



Sesi perbincangan meja bulat berhubung perlatan perubatan getah di Yangon.

Penyertaan Yang Menggalakkan Dalam Seminar  Pendidikan MREPC di Ho Chi Minh City dan Yangon

Penyertaan Yang Menggalakkan Dalam Seminar Pendidikan MREPC di Ho Chi Minh City dan Yangon

03
Apr , 2018

Galeri Multimedia

Berita Industri