Bahasa | English | 中文 | Bahasa Lain
 
Utama > Arkib Berita

Arkib Berita

  Kembali ke Arkib

MREPC Mempromosikan Peralatan Perubatan Getah di Xiamen dan Guangzhou
 
Menyedari kepentingan dan potensi besar pasaran China untuk produk getah Malaysia, MREPC telah menganjurkan satu misi khusus ke China dari 20 - 26 Ogos 2017. Diketuai oleh Puan Low Yoke Kiew, Ketua Pegawai Eksekutif MREPC, tumpuan misi adalah peralatan perubatan getah di bandar raya Xiamen dan Guangzhou.

Delegasi telah berjumpa dengan profesional perubatan dan kakitangan penjagaan kesihatan semasa seminar pendidikan di Xiamen dan Guangzhou yang menampilkan pakar dari China dan Malaysia. Seminar pendidikan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MREPC untuk mendekati kakitangan penjagaan kesihatan di China bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penggunaan betul sarung tangan perubatan getah dalam mengurangkan jangkitan di hospital. Selain daripada menyerlahkan perkembangan terkini dalam industri penjagaan kesihatan, seminar tersebut juga menyediakan platform untuk pakar industri mewujudkan jalinan dengan delegasi Malaysia. Kedua-dua seminar menarik penyertaan yang baik, melebihi 200 peserta.

Misi tersebut juga mengandungi pemadanan perniagaan bagi lapan syarikat pengeluar Malaysia yang menyertai misi, iaitu Koon Seng, Top Glove, TCS Quality, Hartalega, Adventa, Riverstone, Titi Glove dan Biomax. MREPC juga menganjurkan perbincangan meja bulat dengan pengimport, pembeli, pengedar dan persatuan peranti perubatan getah di Xiamen dan Guangzhou. Perbincangan interaktif tersebut menyediakan maklum balas yang berguna mengenai perdagangan peralatan perubatan getah antara Malaysia dan China serta memberi maklumat terkini berhubung industri penjagaan kesihatan di China.

Delegasi juga melawat Nosocomial Infection Control Centre dan Camphill Group di Xiamen serta Guangdong Private Dental Association dan Double One Latex Products Co. Ltd di Guangzhou untuk mengetahui perkembangan terkini dalam kawalan infeksi dan sektor kesihatan di China.


Peserta Seminar “Managing Infection Control – Selecting the Right Gloves” di Xiamen, China.



Peserta Seminar “Managing Infection Control – Selecting the Right Gloves” di Guangzhou, China.




Lawatan ke Guangzhou Double One Latex Products in Guangzhou, China.



 

Bilangan Pelawat:
Kemaskini Terakhir : 19 November 2017